comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesin ATM dalam ladang sawit

ROMPIN: Meskipun kedengaran agak pelik, kewujudan mesin auto teller machine, ATM di ladang sawit Bandar Tun Razak, Keratong di sini dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk.

Mereka termasuk lebih 1,000 pekerja ladang warga Bangladesh dan Indonesia serta lebih 4,000 penduduk sekitar yang selamà ini terpaksa ke Bandar Muadzam Shah atau ke Bahau yang jaraknya kira-kira 50 kilometer untuk urusan mengeluarkan wang.

Kemudahan ATM ini disediakan oleh Koperasi Serbausaha Makmur Berhad, KOSMA dengan kerjasama RHB Bank.

Ia diletakkan di pintu masuk pondok pengawal keselamatan Ladang KOSMA dan berfungsi dengan menggunakan tenaga solar.

Pengerusi Koperasi Serbausaha Makmur Berhad, KOSMA, Datuk Zamri Mohamad (dua kanan) menyampaikan replika kad RHB Bank kepada seorang pekerja asing Bangladesh sebagai gimik perasmian pelancaran Auto Teller Machine (ATM) di Ladang Kosma di Keratong, hari ini. Foto NSTP

Pada masa sama ia memberi kemudahan kepada kumpulan pekerja asing terbabit untuk mengambil gaji dan menghantar wang ke negara asal mereka.

Majlis pelancaran kemudahan ATM itu dilakukan Pengerusi KOSMA, Datuk Zamri‌ Mohamad dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Jualan Wilayah, Deposit Wilayah Pantai Timur RHB Bank, Noorazmadee Salleh dan Timbalan Pengerusi KOSMA, Datuk Mohd Sabri Abdullah.

Menurut Zamri, kemudahan ini turut memberi manfaat kepada 150 kakitangan KOSMA dan penduduk dari ladang sekitar seperti Ladang Berembun, Ladang Felda Bera serta penduduk setempat.

Tambah Zamri, serentak perkembangan itu setiap pekerja asing dibayar gaji mereka melalui akaun RHB dan tidak lagi secara tunai.

“Penyediaan mesin ATM dengan kerjasama RHB Bank satu pendekatan mesra KOSMA memudahkan pekerja ladang asing untuk mengeluarkan wang gaji bagi keperluan diri sendiri di rumah kongsi yang disediakan majikan,” katanya.

Loading...
Terkini