comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesin layan diri IPR akan diperluas ke universiti, hospital, pejabat swasta – Rafizi

Rafizi Ramli (dua, kanan) berbual dengan pengusaha mesin layan diri Insiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Syuhaila Mohd Yusoff, 48, ketika program IPR di Stesen Bas Terminal One, Seremban hari ini.

SEREMBAN: Mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan diperluas ke beberapa universiti, hospital serta pejabat swasta, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, pihaknya akan melancarkan mesin itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor pada 21 Mac ini selepas pelajar kembali ke kampus.

“Perancangannya, mesin layan diri ini diletakkan di tempat awam, kawasan tumpuan atau lokasi yang dilihat mempunyai pembeli berskala besar (seperti di kampus).

“Kita sedang memuktamadkan beberapa tempat lagi (diletakkan mesin tersebut) di seluruh negara. Antaranya beberapa lokasi di Perak akan dilancarkan dalam tempoh beberapa minggu ini,” katanya selepas melawat tapak Mesin Layan Diri IPR di Stesen Bas Terminal 1, hari ini.

Beliau turut menyasarkan mesin berkenaan dapat diperluas kepada 5,000 penerima di bawah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) pada tahun ini.

Menerusi insiatif INSAN, penerima akan diberikan mesin layan diri di tempat yang telah dipilih dan akan menerima sewaan bulanan serta dibayar terus kepada penyedia mesin layan diri antara RM600 hingga RM800 bergantung kepada jenis mesin.

Menurut Rafizi, permohonan terhadap mesin itu melebihi sasaran ditetapkan bagaimanapun penyediaan mesin berkenaan perlu mengikut kemampuan operator dalam menyediakannya.

“Saya jangkakan menjelang akhir tahun ini mencecah puluhan ribu permohonan kerana setakat ini permohonan melebihi sasaran ditetapkan, bagaimanapun kita perlu mengukur kapasiti industri yang menyediakan mesin layan diri.

“Operator perlu mengeluarkan RM20,000 hingga RM30,000 bagi sebuah mesin yang ditanggung sendiri. Kerajaan tidak membeli mesin ini, kerajaan hanya membayar sewa, modal itu perlu dikeluarkan oleh pihak operator mesin layan diri,” katanya.

Bagi seorang penerima, Syuhaila Mohd Yusof, 48, dengan mesin itu beliau mampu menjual makanan seperti pastri, roti, nasi lemak, ayam goreng berharga RM1 hingga RM3 mengikut piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini