comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesin pengimbas bagasi berteknologi tinggi perkasa kawalan pintu masuk negara – JKDM

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menempatkan 40 unit mesin pengimbas bagasi dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) melibatkan nilai perolehan RM40.72 juta bagi memantapkan tahap keselamatan kawalan pintu masuk utama di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata mesin pengimbas berkenaan membantu JKDM dari segi pengecaman serta proses analisis imej, sekali gus dapat menganalisis corak penyeludupan barang terlarang terutamanya narkotik dengan lebih efisien.

Beliau berkata ia juga membolehkan jabatan itu menganalisis corak penyeludupan barang terlarang terutamanya narkotik dengan lebih efisien.

“40 unit mesin pengimbas sudah dipasang di seluruh negara dalam tempoh Mei dan Jun lepas. Mesin itu memberikan ketepatan data dan pengecaman dapat dilaksanakan dengan cepat dan tepat.

“Ini akan membantu JKDM mengurangkan ketirisan dan meningkatkan hasil,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesin pengimbas oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, di sini hari ini.

Anis Rizana berkata sejak mesin pengimbas baharu itu beroperasi, JKDM berjaya mengesan beberapa kes berdasarkan hasil analisis imej imbasan.

Beliau berkata Pusat Mel dan Kurier (PMK) Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mengesan lapan kes narkotik daripada jenis ganja dan bliss cannabis bernilai RM577,625.20.

enteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melihat mesin pengimbas bagasi yang baharu Jabatan Kastam Diraja ketika majlis perasmiannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Turut kelihatan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin (kiri). FOTO: NSTP

“JKDM turut berjaya mengesan cubaan membawa masuk wang tunai berjumlah RM65,160.00 dan dadah jenis heroin seberat 5.252 kilogram bernilai RM492,375.00 melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis dalam kes yang berasingan pada Jun dan Ogos lepas,” katanya.

Sementara itu, Anis Rizana berkata pemerolehan mesin pengimbas baharu kali ini ditambah baik dengan  membabitkan penyewaan yang merangkumi kos penyelenggaraan.

Beliau berkata dengan penempatan 40 unit mesin pengimbas bagasi baharu itu, menjadikan keseluruhan jumlah mesin pengimbas baharu berjaya dipsang dan sedang beroperasi di pintu masuk seluruh Malaysia sebanyak 66 unit melibatkan nilai perolehan sebanyak RM84.30 juta.

“JKDM masih dalam proses membuat penggantian secara berperingkat bagi mesin-mesin pengimbas yang telah lama (obsolete) kepada mesin pengimbas baharu yang lebih canggih dan berteknologi tinggi.
“Banyak lagi unit mesin pengimbas yang baharu akan ditambah pada tahun ini dan tahun hadapan di lokasi strategik yang telah dikenal pasti,” katanya.

Pada masa sama, Anis Rizana berkata JKDM juga telah memperoleh mesin pengimbas badan menggunakan teknologi gelombang Terahertz yang mampu mengesan barangan disembunyikan di badan penumpang termasuk bahan letupan, senjata dan lain-lain.
— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini