comscore
Tumpuan :
Nasional

Meski PM dimaki hamun, kerajaan tetap hormati hak rakyat – Saifuddin

Saifuddin Nasution bercakap kepada media selepas program XPRESI Gen Ta (GENERASI KITA) Bersama Menteri Dalam Negeri : Solidarity Bebas Dadah @ Dewan Chong Kuang, Sungai Bakap. – FOTO: NSTP

NIBONG TEBAL: Kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersifat terbuka dan menghormati hak rakyat bersuara, termasuk menegur dan mengkritik pemerintah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, himpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya petang tadi membuktikan keterbukaan itu dan memberi peluang kepada rakyat untuk berhimpun secara aman.

“Ini mengesahkan Malaysia di bawah Kerajaan Madani menghormati hak untuk berkumpul, hak untuk berhimpun secara aman dan hak untuk menegur serta mengkritik pemerintah.

“Kerajaan di bawah teraju Anwar menghormati hak setiap rakyat, walaupun Perdana Menteri itu dimaki hamun,” katanya selepas menghadiri Program Xpresi Generasi Kita di sini, malam tadi.

Saifuddin berpandangan, berdasarkan laporan yang diterimanya, himpunan disertai kira-kira 100 orang itu hanya membabitkan kelompok kecil masyarakat.

“Kita tengok (daripada) 30 juta rakyat Malaysia, mereka berjaya kumpulkan siang tadi (semalam) adalah 100 orang. Ini satu angka menakjubkan…saya ingatkan 100,000 rupa-rupanya 100 orang,” katanya.

Semalam, peserta perhimpunan itu mendesak Perdana Menteri menurunkan kembali harga diesel dan tidak menaikkan harga petrol.

Mereka juga menuntut supaya kerajaan pimpinan Anwar mengembalikan bekalan beras putih tempatan dan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini