comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat Kabinet bincang penggunaan digital, AI dalam kerajaan esok

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Penggunaan digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam kerajaan antara intipati perbincangan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan membentangkan perkara berkenaan kerana ia selari dengan komitmen kerajaan yang sudah mempersetujui secara dasar.

“Masih ada kadang-kadang keengganan, kegusaran jabatan-jabatan (untuk penggunaan digital dan AI) kerana nak ‘control server’ masing-masing, tapi itu pemikiran 80-an, kita mesti menjelaskan kepada mereka.

“Saya jelaskan juga kepada Microsoft, Google, kita akan memperluaskan (digital dan AI) melainkan isu keselamatan khusus membabitkan keselamatan negara. Itu dikecualikan, yang lain mesti ‘cloud server’,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan (MOF), di sini hari ini.

Pada 2 Mei lalu, Anwar menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella dan delegasi di Putrajaya.

Dalam pertemuan itu, syarikat teknologi dan perbadanan multinasional Amerika Syarikat (AS) berkenaan komited untuk melabur AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) di negara ini dalam teknologi awan dan AI.

Semalam, Perdana Menteri mengadakan persidangan secara maya bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat yang turut menyentuh kepentingan kerjasama dan dukungan teknologi dan AI berkaitan sektor pendidikan, kesihatan dan pertanian.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) minggu ini bagi membincangkan mengenai projek syarikat minyak negara dengan Saudi Aramco di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor.

“Saya akan bincangkan dengan PETRONAS dalam masa satu, dua hari ini kerana ada tiga perkara pokok. Dua sudah selesai, satu ada masalah sedikit yang harus kita putuskan di peringkat kerajaan,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Anwar dilaporkan berkata, Saudi Aramco komited untuk memperluaskan fasilitinya di Kompleks Bersepadu Pengerang dengan menambah aktiviti hiliran petrokimia dan gas supaya ia menjadi hab terbesar di Asia Tenggara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini