comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat khas MKT Umno esok bincang pengurangan hukuman Najib

 

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan mengadakan mesyuarat khas esok, bagi membincangkan berhubung pengumuman pengurangan tempoh hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat berkenaan dijadualkan berlangsung jam 11 pagi.

“Satu mesyuarat khas MKT Umno akan diadakan 11 pagi esok untuk membincangkan perkembangan muktakhir politik semasa tanah air khususnya bersangkutan dengan pengumuman pengurangan tempoh hukuman Najib oleh Lembaga Pengampunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata, Umno membuat keputusan menangguhkan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera, esok.

Kolokium yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Ghani sepatutnya akan dihadiri 2,000 pimpinan dari 191 Bahagian seluruh negara.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan hukuman terhadap Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata, Datuk Seri Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Manakala denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000 dikurangkan kepada RM50,000,000.

Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Datuk Seri Najib akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.

Loading...
Terkini