comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mesyuarat NACCOL Selasa ini bincang caj DuitNow QR 

 

MELAKA: Caj transaksi DuitNow QR akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) pada Selasa ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Senator Fuziah Salleh  berkata, mesyuarat berkenaan yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut disertai wakil Bank Negara Malaysia (BNM).

“DuitNow QR ini ada 1.874 juta pengguna yang menggunakan platform ini (untuk transaksi tanpa tunai). Bayangkan ada hampir 1.9 juta pengguna yang gunakan DuitNow ini, berapa banyak keuntungan kepada bank. Kita (KPDN) takut ada kesan kepada pengguna,” katanya selepas merasmikan Jelajah Jualan Rahmah peringkat negeri Melaka, hari ini.

Fuziah menjelaskan, caj transaksi bagi penggunaan platform itu dikhuatiri  merencatkan program digitalisasi negara sebagaimana yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata, KPDN sebelum ini mengadakan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) bagi membantu pengurusan perniagaan pengusaha kecil, terutama dalam memudahkan pengguna dengan mempelbagaikan kaedah pembayaran secara digital.

“Kita khuatir peniaga-peniaga (kecil dan mikro), sudahlah susah mereka nak sertai (program ReDI), kita khuatir peniaga-peniaga ini nanti akan terkesan pula (dengan caj transaksi) dan akan merencatkan program digitalisasi seperti yang dikehendaki kerajaan dalam RMK12 dan pengguna akan menyerap kos terbabit,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini