comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bermula esok

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bakal membuka tirai esok, dengan Mesyuarat Pertama bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing akan berlangsung sehingga hujung Mac dan awal April.

Mesyuarat bermula dengan Istiadat Pembukaan di bangunan Parlimen jam 10 pagi esok dan tumpuan pastinya terarah kepada titah sulung Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat berkenaan akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; menteri, Ahli Parlimen dan perwakilan asing.

Sebelum urusan Titah Diraja berlangsung di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke Dataran Parlimen bagi istiadat pemeriksaan kawalan kehormatan.

Berdasarkan takwim di laman web Parlimen, Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan berlangsung selama 19 hari sehingga 27 Mac, Mesyuarat Kedua dari 28 Jun hingga 18 Julai (15 hari), manakala Mesyuarat Ketiga dari 7 Oktober hingga 5 Disember (35 hari).

Bagi Dewan Negara, Mesyuarat Pertama akan berlangsung selama 12 hari dari 18 Mac hingga 4 April, Mesyuarat Kedua dari 22 Julai hingga 1 Ogos (lapan hari) dan Mesyuarat Ketiga dari 27 November hingga 17 Disember (12 hari).

Dewan Negara juga bakal menyaksikan Yang Dipertua baharu, Datuk Mutang Taga, pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang yang dilantik ke jawatan itu, mempengerusikan mesyuarat.

Berdasarkan takwim, Dewan Rakyat dijadual membahaskan Usul Menjunjung Kasih titah Yang di-Pertuan Agong selama tujuh hari, sehingga 7 Mac, diikuti jawapan oleh Menteri selama empat hari, dari 11 hingga 18 Mac.

Minggu keempat Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat yang bermula 18 Mac pula akan menyaksikan rang undang-undang (RUU) dibentang dan dibahaskan, serta urusan kerajaan lain.

Antara RUU yang dijangka dibentangkan pada mesyuarat pertama adalah RUU penubuhan agensi tunggal kawalan negara (SBA).

Minggu pertama mesyuarat Dewan Rakyat juga dijangka membabitkan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pengurusan pelaksanaan projek Sistem Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini