comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat Sekretariat kali pertama hanya untuk parti yang meterai perjanjian pakatan Kerajaan Perpaduan – Rafizi

Rafizi berucap pada pelancaran pemantauan Ekonomi Malaysia ke-27 diterbitkan Bank Dunia bertajuk ‘Expanding Malaysia’s Digital Frontier’ di Kuala Lumpur, hari ini

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali pertama yang diadakan Selasa lalu adalah hanya untuk parti-parti yang memeterai perjanjian pakatan Kerajaan Perpaduan.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, hanya parti yang mempunyai tiga atau lebih ahli Parlimen adalah penandatangan perjanjian pakatan itu.

Katanya, penandatangan perjanjian pakatan itu ialah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

“Mesyuarat itu hanya untuk penandatangan perjanjian. Walaupun Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebahagian Kerajaan Perpaduan, hanya parti yang mempunyai tiga atau lebih ahli Parlimen adalah penandatangan (perjanjian),” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Pemantauan Ekonomi Malaysia ke-27 diterbitkan Bank Dunia bertajuk ‘Expanding Malaysia’s Digital Frontier’ di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas luahan Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi menerusi ciapan Twitter, yang menyuarakan rasa terkilannya kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat pertama berkenaan.

Amir menjelaskan tidak menerima sebarang jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau emel.

“Saya, Setiausaha Agung parti. Kalau ada sebarang komunikasi, sudah tentu melalui saya.

“Tidak ada surat, mesej, e-mel yang diterima. Kami hanya tahu ia berlangsung dari media,” katanya menjawab satu perkongsian dari ciapan pengguna akaun di Twitter beliau.

Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali pertama dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihadiri semua pemimpin parti membentuk Kerajaan Perpaduan telah selesai berlangsung pada Selasa.

Bagaimanapun, mesyuarat itu kemudiannya menimbulkan tanda tanya apabila MUDA tidak dijemput untuk menyertainya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini