comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat SPR berlangsung, bincang urusan PRK DUN Sungai Bakap

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan urusan dan tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang sedang berlangsung di Menara SPR di sini.

Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom itu bermula pada pukul 10 pagi, antaranya bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRK berkenaan seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain.

Mesyuarat turut dihadiri Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, dan SPR dijangka mengadakan sidang media apabila selesai mesyuarat berkenaan.

Pada 27 Mei lepas, Ikmalrudin memaklumkan mesyuarat khas itu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Sungai Bakap.

Ikmalrudin berkata sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi berkenaan dipastikan oleh SPR.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini