comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri Luar OIC mahu Israel dibawa ke muka pengadilan

Foto: Wisma Putra / Facebook

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi semalam menerima pakai satu resolusi antara lain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang berterusan Israel di Gaza dan Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan, resolusi itu juga mengandungi langkah-langkah yang perlu diambil OIC dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan, di samping memastikan Israel dibawa ke muka pengadilan atas jenayah yang telah dilakukan.

“Penyertaan Malaysia ke Mesyuarat Tergempar berkenaan adalah selaras dengan usaha-usaha berterusan Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin di pelbagai platform antarabangsa.

“Malaysia mengulangi pendiriannya untuk penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara, dan Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan itu.

Ujar Wisma Putra, dalam kenyataan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar itu, beliau menekankan kepentingan OIC mendapatkan sokongan dan bekerjasama dengan negara sepemikiran di luar badan tersebut dalam mencari jalan penyelesaian terhadap keganasan yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin.

Ini termasuk usaha ke arah gencatan senjata yang berkekalan.

Selain itu, Mohamad juga menjelaskan Malaysia telah meningkatkan usaha diplomatik dan perundangan dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.

Usaha terbabit merangkumi penyertaan prosiding bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Palestin.

“Beliau juga menyeru semua negara anggota (OIC) untuk terus memberi sokongan kepada Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang memainkan peranan penting dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Kesihatan di Gaza dalam satu kenyataan memberitahu, setakat semalam, sekurang-kurangnya 30,631 rakyat Palestin terbunuh manakala 72,043 orang lagi cedera dalam peperangan di antara Israel dan Hamas yang meletus sejak 7 Oktober tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini