comscore
Tumpuan :
Nasional

Meta diminta perjelas tindakan turunkan berita pertemuan PM, pemimpin Hamas – Fahmi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Ismail Haniyeh di sebuah hotel di Doha, Qatar, semalam.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengecam tindakan syarikat Meta yang menurunkan hantaran daripada beberapa akaun media sosial syarikat media tempatant berhubung pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, penelitian pihaknya terhadap hantaran tersebut mendapati ia tidak mempunyai aspek ‘berbahaya’ seperti didakwa syarikat Meta.

“Sebagai Menteri Komunikasi, saya kecam tindakan pihak Meta untuk menurunkan artikel, posting (hantaran) daripada media dan apatah lagi kerana ini adalah pelaporan tentang lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar dan pertemuan dengan sayap politik sebuah organisasi bukan sayap militan atau sayap ketenteraan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Jelasnya, beberapa syarikat media tempatan memaklumkan kepada pejabat beliau bahawa hantaran dalam media sosial diturunkan atas alasan kononnya mereka berkongsi atau menghantar simbol, pujian atau sokongan kepada individu dan organisasi yang ditakrifkan syarikat Meta sebagai berbahaya.

Semalam, Anwar dan Ismail mengadakan pertemuan tertutup empat mata lebih sejam ketika Anwar dalam misi lawatan rasmi ke Qatar, dengan antara inti pati pertemuan untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghantar surat kepada pihak Meta bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu dan beliau turut akan membuat langkah sama.

Jelasnya, apa yang dikesali adalah tindakan dilakukan oleh sebuah organisasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu tetapi dengan jelas tidak menghormati hak kebebasan media untuk menggunakan platform mereka untuk menyebarkan berita.

“Sebelum ini sewaktu kita anjurkan acara di Stadium Axiata Arena (Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI), pernah (berlaku yang) sama, ada ‘posting’ berkait ucapan Perdana Menteri pada waktu itu dalam beberapa platform media sosial seperti Instagram telah diturunkan.

“Bagaimanapun selepas kita menghantar protes (kepada pihak Meta) telah dikembalikan (hantaran), jadi saya akan susuli (dengan surat penjelasan),” katanya.

Menurut Fahmi, beliau juga akan membangkitkan isu terbabit dalam pertemuan bersama semua platform media sosial pada bulan depan.

Ini termasuk meminta penjelasan daripada syarikat berkenaan supaya tidak menyekat atau mengenakan tindakan menurunkan kandungan berhubung pelaporan mengenai tugasan mahupun aktiviti rasmi membabitkan Perdana Menteri.

Sementara itu, ditanya sama ada pertemuan Anwar dan Ismail akan memberi kesan kepada ekonomi negara, Fahmi menegaskan, pendirian Kerajaan Malaysia adalah tidak mempunyai hubungan dengan sayap ketenteraan Hamas.

Bagaimanapun, ujarnya, semua parti politik dalam negara mempunyai hubungan dengan sayap politik organisasi tersebut atas dasar perjuangan untuk menubuhkan sebuah negara bernama Palestin.

“Bagi pihak kerajaan sudah pasti dengan pendirian yang jelas, kita ambil tindakan yang dirasa wajar dan tidak bertentangan dengan prinsip undang-undang dan juga prinsip yang kita pegang iaitu ‘dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka’,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini