Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) diarah mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penyediaan dan penyebaran maklumat, nasihat atau amaran cuaca.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penambahbaikan SOP itu supaya maklumat dapat dikeluarkan dengan lebih kerap apabila cuaca dijangka menjadi ekstrem dan melampau.
“Pihak METMalaysia juga telah diarahkan untuk menambah baik aspek komunikasi dalam penyebaran maklumat dan amaran cuaca yang lebih efektif.
“Ini bagi memastikan orang awam lebih cakna terhadap keadaan cuaca semasa dan sekali gus dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media yang menyatakan METMalaysia tidak mengeluarkan amaran cuaca disebabkan ramalan yang telah dikeluarkan lima hari terdahulu adalah masih lagi efektif.
Ia rentetan kejadian ribut dan hujan lebat dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini yang mengakibatkan banyak kes pokok tumbang, banjir dan kemusnahan harta orang awam akibat ribut terutama di kawasan utara negara.
Mengulas lanjut, menurut Nik Nazmi, fasa peralihan monsun telah bermula minggu ini dan akan berterusan sehingga awal November depan, menandakan berakhir Monsun Barat Daya yang bermula sejak 17 Mei lalu.
Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
“Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh tersebut dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan METMalaysia melalui laman sesawang rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan terbabit.
Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.