KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda kebanyakan negeri di Semenanjung, selain beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga jam 6 petang ini.
Selain seluruh Pulau Pinang, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook, berkata cuaca itu dijangka di Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Kerian dan Larut, Matang Dan Selama di Perak; dan kawasan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan.
Selain itu katanya, cuaca itu dijangka berlaku di ibu kota Kuala Lumpur, Selangor (Kuala Selangor, Klang, Gombak dan Petaling) dan Terengganu membabitkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.
“Di Negeri Sembilan membabitkan Seremban, Port Dickson dan Rembau, manakala Johor (Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
“Di Sarawak, cuaca sama dijangka berlaku di Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Sarikei (Sarikei) dan Mukah (Tanjung Manis)
“Di Sabah pula ia membabitkan kawasan pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Kota Kinabalu dan Tuaran) dan Sandakan (Tongod dan Kinabatangan),” katanya.
Ujarnya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa