
KUALA LUMPUR: Penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) menjadi detik penting dalam memacu hubungan perdagangan dan integrasi ekonomi.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Pesuruhjaya Perdagangan Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan bersama berkata, rundingan itu dimulakan pada saat bersejarah dengan landskap geopolitik semasa yang kian berubah.
“Adalah penting untuk membina perkongsian baharu, memupuk kerjasama dan meneroka peluang baharu, dan itulah yang sedang kita lakukan menerusi rundingan ini.
“Perjanjian perdagangan bebas yang moden dan dinamik akan membawa manfaat bersama, membuka pintu kepada peluang perniagaan baharu dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.
“Kami mengalu-alukan rundingan pusingan pertama yang produktif dalam beberapa bulan akan datang,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan Pesuruhjaya Keselamatan Perdagangan dan Ekonomi Suruhanjaya Eropah, Maroš Šefčovič.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, mengumumkan penyambungan semula rundingan MEUFTA bersempena lawatan Perdana Menteri ke Brussels, Belgium bermula semalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.