
ALOR SETAR: Sebuah kenderaan asing disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah selepas pemandunya gagal menjelaskan saman tertunggak berjumlah RM17,700 sejak 12 tahun lalu.
Pengarahnya, Stien Van Lutam berkata, hasil pemeriksaan terhadap lelaki berusia 40-an itu mendapati, dia mempunyai pelbagai kesalahan rekod lampau sejak 2013, ketika memasuki negara ini.
Bagaimanapun katanya, disebabkan gagal menjelaskan bayaran saman berkenaan, ia tertunggak dan pihaknya terpaksa menyita kenderaan terbabit sehingga dia melangsaikan saman berkenaan.
“Ini adalah saman yang tertinggi kita peroleh setakat ini dan kita minta lelaki berkenaan menjelaskan saman secara penuh tanpa ansuran.
“Sepanjang ops sempena Tahun Baharu Cina ini, kita bukan saja memberi fokus pada kenderaan asing namun semua jenis kenderaan termasuk kenderaan berat dan persendirian yang melakukan kesalahan jalan raya.
“Namun setakat ini, kita sudah mengeluarkan 352 saman terhadap kenderaan asing yang melakukan kesalahan dengan jumlah kutipan sebanyak RM101,300,” katanya pada sidang media di Terminal Bas Shahab Perdana, Mergong di sini, malam tadi.
Dalam pada itu katanya, JPJ Kedah turut menfokuskan sembilan kesalahan utama yang dikenal pasti menjadi punca berlakunya kemalangan maut di jalan raya.
Beliau berkata, kesalahan itu adalah tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tapi pinggang keledar atau topi keledar.
Selain itu katanya, dua lagi kesalahan iaitu memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan.
“Pemeriksaan bas di depoh juga dilakukan bermula 13 Januari hingga 19 Februari ini, manakala perintah larangan pergerakan kenderaan berat bermula pada 27 Januari hingga 28 Januari (sebelum perayaan), manakala 1 hingga 2 Februari (selepas perayaan),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.