comscore
Tumpuan :
Nasional

Miliki sepucuk pistol dan 80 biji pil yaba, dua beranak ditahan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pistol jenis Kuzey GN19 bersama kelopak dan peluru hidup serta sejumlah pil yaba dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gual Arang, Rantau Panjang, dekat sini, pagi semalam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan.

KOTA BHARU: Dua beranak ditahan bersama sepucuk pistol dan sejumlah pil yaba dalam serbuan di rumahnya di Kampung Gual Arang, Rantau Panjang, dekat sini, pagi semalam.

Serbuan dibuat jam 5.30 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pemeriksaan dijalankan di bilik bahagian tengah menjumpai sepucuk pistol jenis Kuzey GN19 bersama kelopak dan 10 butir peluru hidup.

“Turut ditemukan adalah 80 biji pil yaba dan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM6,680.

“Susulan itu, satu tangkapan lagi dibuat di Kampung Gual Machang, Rantau Panjang membabitkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang juga anak warga emas terbabit serta penghuni bilik penemuan barang kes,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, suspek warga emas yang bekerja sendiri tidak memiliki rekod lampau namun anaknya mempunyai satu rekod lampau bersabit dadah.

Menurutnya lagi, siasatan lanjut akan dibuat bagi mengetahui pembabitan warga emas itu sama ada terbabit dalam sindiket pengedaran dadah atau sebaliknya.

“Dalam usia sebegitu, kita percaya ada sindiket di belakangnya dan mungkin suspek bertindak sebagai ‘mastermind’ dan menggunakan jaringan hubungannya.

“Kedua-duanya ditahan reman selama seminggu bermula semalam hingga 16 Januari untuk siasatan mengikut Seksyen39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Untuk hukuman bersabit senjata api, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Loading...
Terkini