comscore
Tumpuan :
Nasional

MINDEF salur bantuan pendidikan kepada 94 anak warga ATM

Foto fail

Oleh: Fahmi Tajuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menyalurkan bantuan pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Universiti Luar Negara (ULN) kepada 94 anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu merupakan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota ATM.

“Insentif dan bantuan seperti ini sebenarnya adalah satu bentuk penghargaan dan penzahiran ucapan terima kasih secara tidak langsung oleh Kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan atas pengorbanan dan jasa anggota ATM.

“Selain memastikan latihan yang mencukupi, aset yang moden dan terkini, serta aspek-aspek kebajikan atau kesejahteraan hidup para anggota ATM yang bersifat secara langsung, kita mesti turut menumpukan kepada aspek kesejahteraan yang bersifat tidak langsung seperti ini,”

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Bantuan Universiti Luar Negara (ULN) Tahun 2024 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Sejumlah 94 pelajar yang merupakan anak-anak warga ATM menerima bantuan berkenaan.

Datuk Seri Khaled Nordin juga berkata, pemberian insentif itu merupakan satu bentuk pelaburan pertahanan jangka panjang.

“Kita lakukan pemberian insentif ini kerana kita percaya, kejayaan pendidikan anak-anak anggota ATM adalah salah satu bentuk pelaburan ke atas benteng pertahanan jangka panjang,” katanya.

Bagi kategori IPTA seramai 84 pelajar telah menerima insentif berjumlah RM1,000 dan bagi kategori ULN, seramai 10 pelajar telah menerima insentif berjumlah RM2,000 setiap seorang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini