comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Mini Dhaka’ digempur : Lebih 1,000 PATI termasuk 2 kanak-kanak ditahan

Operasi menggempur Mini Dhaka pagi tadi menyaksikan 1,101 PATI termasuk dua kanak-kanak ditahan untuk tindakan lanjut. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua kanak-kanak ditahan selepas lokasi tumpuan warga asing dikenali ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang, di sini, digempur pihak berkuasa hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed, berkata operasi bersepadu khas membabitkan pelbagai agensi itu susulan banyak aduan diterima tentang kebanjiran warga asing serta masalah jenayah di lokasi itu yang rata-ratanya didalangi warga asing.

“Operasi bertujuan membanteras pelbagai jenayah di kawasan sekitar Kompleks Kota Raya dan Kuala Lumpur terutama membabitkan PATI. Selain itu operasi turut memfokuskan kepada membanteras sebarang aktiviti tidak sihat di kawasan ini.

“Hasil pemeriksaan terhadap 60 premis di kawasan sekitar Kompleks Kota Raya berjaya menahan 1,101 PATI selepas mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Allaudeen berkata,  dua kanak-kanak warga asing turut ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri sah.

@buletintv3Koloni warga asing semakin ‘besar kepala’ buka perniagaan dan berlagak seperti warga tempatan. Lebih 500 warga asing ditahan. #BuletinTV3 #BeritaDiTiktok #PATI #BesarKepala♬ original sound – BuletinTV3

“Buat masa ini proses dokumentasi ke atas semua tangkapan PATI yang dibawa ke Dewan Pengaman PULAPOL, sedang dijalankan.

“Selepas selesai proses dokumentasi, semua PATI akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan mengikut Seksyen 6 (3) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959.

“Tindakan juga diambil mengikut Seksyen 15(4) dan 15(1)(C) akta sama, selain Peraturan 39(B) Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Menerusi serbuan itu juga, polis merampas 100 karton rokok, 80 karton arak dan ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian kesihatan (KKM) dengan keseluruhan nilai rampasan RM104,530.

“Operasi bersepadu khas sebegini akan diteruskan pada masa akan datang ke atas beberapa lokasi lain di ibu negara yang diketahui mempunyai isu kebanjiran PATI serta aktiviti jenayah.

“Kita juga alu-alukan maklumat orang ramai tentang kegiatan mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan masing-masing,” katanya.

Loading...
Terkini