comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Mini Dhaka’ diserbu, 23 PATI dicekup  

Sebahagian warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Terminal Bas Melaka Central. – Foto ihsan Jabatan Imigresen Melaka

MELAKA: Jabatan Imigresen menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di sekitar Terminal Bas Melaka Central termasuk lot kedai ‘Mini Dhaka’.

Dalam operasi bersepadu bermula jam 2.20 petang hingga jam 5 petang semalam, ada PATI cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tetapi dapat ditahan semula.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini, berkata sebahagian warga asing terbabit bekerja di premis kedai, selain ada yang membeli-belah dan bersiar-siar pada cuti hujung minggu.

“Seramai 16 daripada 23 warga asing ditahan adalah warga Myanmar dan bakinya tujuh rakyat Bangladesh berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 15(4) akta sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

‘Kebanjiran’ warga asing terutama Bangladesh di kawasan pintu masuk ke negeri ini sejak beberapa tahun lalu bukan saja mencacatkan pemandangan Melaka, malah menggusarkan warga tempatan pernah dilapor media.

Sebahagian warga asing terbabit dilihat mampu membuka kedai runcit yang menjadi tumpuan rakan senegara serta  sewenang-wenangnya meletak barangan basah seperti ikan di kaki lima kedai sehingga mengganggu laluan pejalan kaki dan menimbulkan pencemaran bau.

Anirwan Fauzee berkata, operasi itu dijalankan bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan memeriksa 199 warganegara asing iaitu 102 warga Myanmar, Bangladesh (68), Nepal (17), Indonesia (9) dan tiga warga Pakistan.

“Namun, 115 warga asing dibebaskan kerana mengemukakan dokumen perjalanan dan permit kerja sah serta teratur.

“Bakinya 81 orang dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka untuk pemeriksaan lanjut sebelum 58 dibebaskan kerana berjaya mengemukakan bukti dan dokumen sah berada di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu disertai 23 anggota Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Melaka; anggota penguat kuasa MBMB (21) dan Polis Diraja Malaysia (lima).

Loading...
Terkini