comscore
Tumpuan :
Nasional

Minta rasuah kira-kira RM1,000, 2 penguat kuasa direman 5 hari

 

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan reman dua anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1,000.

Ia sebagai balasan untuk tidak menangkap pengadu kerana menjual rokok tanpa cukai.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 30-an itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi semalam ketika memberikan keterangan di pejabat SPRM Cawangan Seberang Perai, Pulau Pinang.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Georgetown, Pulau Pinang pagi tadi.

Majistret Syahirah Abdul Salim kemudian mengeluarkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 14 Jun depan.

Kedua-dua suspek disyaki meminta wang daripada seorang warga asing yang juga pengadu atas kesalahan menjual rokok tanpa cukai.

“Salah seorang suspek meminta wang sebanyak kira-kira RM2,000 sebagai balasan untuk tidak menangkap pengadu.Suspek bersetuju untuk menerima wang kira-kira RM1,000 beserta dua karton rokok. Kedua-dua suspek juga disyaki meminta pembayaran rasuah secara bulanan daripada pengadu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini