comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Minum ‘air akuarium’ bahaya, terdedah ”racun plastik” – Pakar

Oleh: Aslina Abu Bakar

PETALING JAYA: Penjualan air balang menggunakan bekas akuarium jelas melanggar peraturan berkaitan Akta Makanan 1983 (Akta 281), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM 2009).

Prof Madya Dr Mohd Hasni Jaafar, Pakar Kesihatan Awam (Persekitaran), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ianya jelas apabila air yang dihidang menggunakan akuarium berkemungkinan besar dicemari bahan toksin berbahaya.

Prof Madya Dr Mohd Hasni Jaafar, Pakar Kesihatan Awam (Persekitaran), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

“Setiap bekas plastik yang dibuat adalah khusus mengikut penggunaannya. Terdapat lima jenis plastik yang sesuai digunakan untuk minuman dan dua jenis plastik tidak sesuai termasuklah PVC ataupun nama lainnya Polyvinyl Chloride yang digunakan dalam pembuatan akuarium.

“PVC yang merujuk sebagai “racun plastik” mempunyai kandungan klorin cukup tinggi selain mengandungi bahan toksin lain antaranya logam plumbum yang bahaya kepada manusia,”katanya.

Artikel berkaitan: Air ‘akuarium’ selamatkah?

Beliau ketika dihubungi Buletin TV3 berkata, lapisan PVC yang terdapat dalam akuarium mampu meresap keluar dan menyebabkan kontaminasi kimia atau pencemaran kepada air minuman yang disediakan.

Foto lapisan silikon bawah mikroskop elektron

Jelasnya, berdasarkan kajian yang dijalankan bahan PVC itu boleh menyebabkan penyakit kronik termasuk kerosakan hati, masalah saraf, masalah mental dan kanser.

“Dengan menggunakan teleskop elektron, kita boleh melihat permukaan yang tidak rata pada punca penyambung akuarium.

“Hal  ini memberi banyak ruang kepada bakteria dan kulat untuk bersembunyi dan terlepas daripada penyucian bekas tersebut sekaligus boleh menyebabkan masalah kesihatan lain seperti keracunan,”katanya.

Menurutnya lagi, Kursus Pengendalian Makanan yang dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu diperhalusi terutama berkaitan dengan penggunaan alat yang selamat ketika proses penyediaan makanan sebelum disajikan kepada pengguna.

“Penjualan air menggunakan akuarium ini perlu dihentikan dan pengendali makanan perlu sedar tentang bahayanya penggunaan bekas makanan yang tidak betul selain perlu peka dengan manual pembuatan alat tersebut.

“Walaupun cuba berfikiran inovatif dalam kehidupan namun perlu berhati-hati dalam penyediaan makanan agar ia tidak membahayakan nyawa dan kesihatan orang ramai,” katanya.

Loading...
Terkini