Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Misi cari Hawari dijangka diteruskan hari ini, guna dron berteknologi tinggi

PETALING JAYA: Misi Mencari dan Menyelamat pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, di pergunungan Everest akan diteruskan lima hari lagi selepas mendapat ihsan dan kebenaran pihak berkuasa Nepal.

Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak berkata, misi SAR kali ini akan menggunakan dua dron berteknologi tinggi yang akan dipantau pendaki, Tiong Ling Yang, pengurus pasukan ME2023 Ayu Wanirah Naharuddin dan seorang malim gunung berpusat di kem dua kawasan pergunungan itu.

Muhammad Hawari Hashim. – FOTO: Ihsan KAME 2022

Pihak berkuasa Nepal katanya, menutup aktiviti pendakian sepenuhnya ke puncak Everest bermula semalam.

Bagaimanapun dengan bantuan kedutaan Malaysia di Nepal, pihaknya mendapat ihsan selama lima hari bagi meneruskan misi SAR mencari mangsa.

Menurutnya, misi yang dijangka bermula hari ini bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa kastam negara itu yang masih belum memberi pelepasan kepada satu dron dihantar menggunakan khidmat kargo dari Malaysia, sabtu lalu.

Sekiranya mendapat pelepasan, mereka akan bertolak dari Kathmandu ke kem dua menggunakan helikopter .

“Sebelum ini, kami sudah membawa satu dron dan ia boleh melakukan pengesanan sehingga melebihi aras 8,000 meter dari aras laut serta kawasan berbahaya yang tidak boleh dimasuki anggota penyelamat dan malim gunung.

“Sekiranya dron ini berjaya mengesan objek, sut pakaian atau kelengkapan lain yang digunakan Muhammad Hawari, baharulah khidmat malim gunung ditugaskan ke kawasan dikenal pasti bagi mendapatkan pengecaman.

“Kaedah itu dapat menjimatkan kos dan lebih efektif. Pada masa sama, kami juga sudah melantik 10 malim gunung yang sentiasa bersiap sedia untuk melakukan tugasan sekiranya diperlukan,” katanya

Bagaimanapun, lanjutan misi SAR itu masih bergantung kepada keadaan cuaca dan jika cuaca tidak mengizinkan, maka ia akan diputuskan kemudian sama ada diteruskan atau tidak.

Loading...
Terkini