comscore
Tumpuan :
Nasional

MITRA dikembalikan semula ke JPM

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dikembalikan semula ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) daripada Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Ini telah diputuskan bersama oleh Menteri Perpaduan Negara (Datuk Aaron Ago Dagang) dan juga Perdana Menteri dan dipersetujui bersama,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengenai tarikh penguatkuasaan pemindahan agensi berkenaan, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, MITRA akan mengeluarkan kenyataan yang lebih menyeluruh mengenai hal berkenaan.

“Sudah pasti dengan pulangnya MITRA ke JPM maka fokus khusus oleh Perdana Menteri akan diberikan untuk pastikan bukan hanya MITRA sebagai sebuah badan dapat diurus dengan baik tapi matlamatnya juga sama ada dapat dicapai atau diharapkan dapat dikembang luas,” katanya.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA, Datuk R Ramanan mahu MITRA diletakkan semula di bawah JPM.

Beliau berkata, gesaan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak, terutamanya masyarakat India yang melihat MITRA sebagai aset dan ‘Arm of Indian community’ lebih ‘selesa’ berada di bawah kawal selia Perdana Menteri.

Menurut Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, gesaan itu juga disuarakan kerana infrastruktur dan sumber di bawah JPM lebih maju berbanding kementerian lain, sekali gus membantu pengurusan lebih efisien untuk unit khas itu.

MITRA pada asalnya dikenali sebagai Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) yang ditubuhkan pada 2014, sebelum dijenamakan semula menjadi MITRA pada 2018 diterajui oleh KPN.

Namun pada September 2022 ia dipindahkan di bawah seliaan JPM.

Bagaimanapun pada Disember lalu, MITRA diletakkan semula di bawah KPN dengan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dilantik sebagai Pengerusi JPPK MITRA menggantikan Ramanan pada Februari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini