NEW YORK: Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di New York, Amerika Syarikat bagi mewakili Malaysia dalam sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy pada 8.30 malam waktu tempatan Sabtu, diiringi isterinya, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin.
Sejurus tiba, beliau disambut oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr Ahmad Faisal Mohamad dan Konsul Jeneral Malaysia di New York, Amir Farid Abu Hasan.
Bernama sebelum ini melaporkan bahawa Mohamad, yang menghadiri UNGA buat kali pertama sejak dilantik sebagai Menteri Luar pada Disember 2023 dijadual menyampaikan Kenyataan Negara di Summit of the Future (SOTF) pada 22 Sept dan di Debat Umum pada 28 Sept.
Pendekatan Malaysia di PBB akan berteraskan tiga tema utama iaitu ‘Mempertahankan Prinsip, Menerima Reformasi dan Mengukuhkan Kerjasama’.
SOTF yang akan diadakan serentak dengan UNGA tahun ini adalah teras kepada visi Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres melalui “Our Common Agenda,” yang kali pertama diumumkan pada Sept 2021.
Agenda itu menyeru komitmen menyeluruh untuk membaharui dan memperkukuh sistem antarabangsa, bertujuan menangani cabaran baharu seperti perubahan iklim, ketidaksamaan teknologi dan kemerosotan multilateralisme.
Menteri Luar juga akan menyertai beberapa mesyuarat peringkat tinggi termasuk ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Komanwel, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), G77 dan China, World Economic Forum (WEF) dan G20
Sesi ke-79 UNGA akan menampilkan tiga acara utama iaitu SOFT (22-23 Sept), Debat Umum (24-28, 30 Sept) dan Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Kenaikan Paras Laut (25 Sept). – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.