comscore
Tumpuan :
Nasional

Mohamad Suparadi Pengerusi Baharu MRC

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Amanah Majlis Getah Malaysia (MRC) berkuat kuasa hari ini.

Kenyataan MRC memberitahu, pelantikan Mohamad Suparadi sebagai Pengerusi dilakukan pada masa yang penting ketika industri getah global menempuhi cabaran semasa pasca pandemik COVID-19.

“Mohamad Suparadi membawa bersamanya pengalaman luas dan rekod yang cemerlang dalam pengurusan strategik, perniagaan dan kewangan, menjadikannya pemimpin yang ideal untuk membimbing MRC dan industri getah Malaysia ke arah pencapaian yang lebih tinggi.

“Kepimpinan strategik beliau dan pengetahuannya dalam industri akan memainkan peranan penting dalam menavigasi dinamika yang kompleks ini, memastikan pertumbuhan berterusan industri getah Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Mohamad Suparadi berkelulusan ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Malaya dan pernah mengendalikan jawatan penting di beberapa organisasi, antaranya Pengarah Eksekutif Iris Corporation Berhad dari 2004 hingga 2009 serta Yayasan Hijrah Selangor pada 2021.

Sementara itu, Mohamad Suparadi menyatakan terima kasih dan komitmennya untuk memajukan industri getah negara ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi,  kerana memberikan kepercayaan kepada beliau untuk memimpin MRC dalam memastikan kelestarian industri getah di Malaysia.

“Saya sangat berbesar hati dan bersyukur atas peluang untuk berkhidmat sebagai Pengerusi MRC. Industri getah merupakan tonggak penting dalam ekonomi negara kita, dan saya bersemangat untuk bekerjasama dengan pemain berkepentingan industri, agensi kerajaan, dan rakan antarabangsa untuk mengangkat industri getah Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Loading...
Terkini