BAYAN LEPAS: Remaja lelaki yang melecur terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kampung Bukit, dekat Taman Sri Bayu, di sini, memasang hasrat untuk bertemu pemain bola sepak kegemarannya, Faisal Halim.
Hasrat Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, 13, itu disampaikan ibunya Suhana Samsudin, 38, ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Katanya, sepanjang hampir setahun menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), dia yang meminati bola sepak tetap mengikuti perkembangan sukan itu.
“Sebelum kejadian, Mohd Dawisy Zarif memang bermain bola sepak mewakili sekolah dalam pelbagai kejohanan.
“Ketika terima rawatan, dia dapat tahu mengenai kejadian yang menimpa pemain bola kesayangannya menerusi berita dalam talian dan terkejut dengan keadaan itu.
“Sejak itu, dia juga sering menitipkan kata-kata semangat kepada Faisal di Instagram walaupun keadaannya juga belum pulih,” katanya.
Mengulas lanjut, Suhana berkata, ketika gambar Faisal atau Mickey yang menghadiri sidang media kali pertama selepas kejadian disimbah asid, Mohd Dawisy Zarif sering menganggap nasib yang menimpa mereka hampir sama.
Katanya, bahagian kulit Mohd Dawisy Zarif yang melecur juga kelihatan seperti Faisal dan perlu mengenakan pakaian khas ketika berada di luar rumah.
“Dia selalu bertanya mengenai keadaan kulit mereka yang hampir serupa, namun Faisal sudah semakin baik cuma Mohd Dawisy Zarif sedang pulih.
“Saya harap jika Faisal sudi bertemu Mohd Dawisy boleh menitip kata semangat kerana anak saya juga baharu sahaja dapat kekuatan ke sekolah dan bermain bola sepak,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan mengenai Mohd Dawisy Zarif yang sudah mula bersekolah selepas hampir setahun menerima rawatan termasuk lebih enam kali pembedahan ketika menerima rawatan.
Suhana berkata, anaknya mengetahui berita itu pagi tadi menerusi laporan Harian Metro dalam talian yang disiarkan semalam.
Katanya, dia berterima kasih kepada orang ramai yang turut sama memberi kata semangat kepada Mohd Dawisy Zarif.
“Memang dia memerlukan sokongan sebagai cara pemulihan terutama daripada segi mentalnya.
“Sejujurnya, saya gementar juga hendak beritahu (berita di akhbar), tetapi selepas diberitahu mengenainya, Mohd Dawisy Zarif tersenyum dan teruja ke sekolah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.