comscore
Tumpuan :
Nasional

Mokhzani pula ke pejabat SPRM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mokhzani Mahathir anak bekas Perdana Menteri hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Mokhzani yang juga ahli perniagaan hadir kira-kira jam 11 pagi tadi untuk direkod keterangan.

Perkembangan itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

“Ya, saya sahkan. Beliau hadir pagi tadi,” katanya ringkas.

Terdahulu, media melaporkan seorang ahli perniagaan yang juga anak ketiga kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dipercayai akan hadir di SPRM.

Siasatan yang dilakukan oleh SPRM dipercayai adalah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Difahamkan, keterangan ahli perniagaan itu diambil selepas abangnya, Mirzan hadir di SPRM pada 17 Januari lalu.

Siasatan dilakukan SPRM terhadap Mokhzani dipercayai mempunyai kaitan dengan pegangan saham beliau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendapatkan projek kerajaan.

Syarikat GLC itu dikatakan turut memenangi lesen fabrikasi struktur cari gali sebuah syarikat gergasi petroleum negara yang ketika itu bapanya merupakan Perdana Menteri.

Pada 17 Januari lalu, Mirzan anak kedua kepada Mahathir dipanggil SPRM berhubung aset bernilai tinggi dimilikinya di luar pesisir.

SPRM dalam kenyataan pada 18 Januari lalu mengesahkan memanggil Mirzan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya jam 9.39 pagi.

Satu perintah notis disampaikan SPRM kepada beliau untuk melakukan pengisytiharan aset miliknya dalam tempoh 30 hari.

Perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Loading...
Terkini