comscore
Tumpuan :
Nasional

Mokhzani wajar diberi tempoh lanjutan isytihar harta – KP SPRM

Oleh : Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohkzani Mahathir wajar diberikan tempoh lanjutan 30 hari untuk mengisytiharkan harta kerana memiliki harta yang banyak dan perlu diperincikan.

Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia juga setelah mengambil maklum penerangan daripada Pegawai Penyiasat serta atas kerjasama baik yang diberikan oleh anak bekas Perdana Menteri itu.

“Mokhzani ada memohon tambahan masa sebelum ini dan SPRM sudah lanjutkan selama 30 hari lagi.

“Tempoh masa yang diberikan itu adalah wajar berdasarkan penerangan pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) kali ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Azam berkata, hal ini kerana harta yang terbabit untuk disiasat adalah banyak dan perlu lebih terperinci untuk mendapatkan dokumen atau akaun berkaitan.

“Kerjasama baik diberikan oleh Mokhzani dan abangnya, Mirzan kepada pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Ditanya adakah tempoh lanjutan pengisytiharan harta boleh dipohon lagi selepas ini, beliau berkata, permohonan seterusnya boleh dipohon oleh kedua-duanya.

“Namun perkara itu perlu disemak dan dikaji terlebih dahulu oleh pegawai penyiasat,” katanya.

Pada 18 Januari lal.u, SPRM mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.

Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Loading...
Terkini