comscore
Tumpuan :
Nasional

Monopoli PUSPAKOM pemeriksaan berkala kenderaan berakhir 1 September depan

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Garis Panduan terperinci perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh diperoleh bermula 15 April depan.

Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke berkata, garis panduan itu mengandungi semua syarat perkhidmatan, prosedur pemeriksaan, peralatan pemeriksaan, syarat pengoperasian pusat pemeriksaan, perjanjian tahap perkhidmatan dan lain-lain peraturan berkaitan.

Menurutnya, syarat-syarat perkhidmatan terbahagi kepada tujuh komponen utama terdiri daripada modal berbayar syarikat ditetapkan berjumlah RM10 juta dan mempunyai modal pusingan berjumlah RM5 juta setahun demi menjaga kemampanan perniagaan.

Pemegang lesen hanya dibenarkan menjalankan semua skop pemeriksaan yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak dibenarkan menawarkan perkhidmatan pembaikan kenderaan motor, pengubahsuaian, penjualan alat ganti, penjualan kenderaan serta sebarang transaksi yang berkaitannya demi menjaga integriti.

“Lokasi pembukaan pusat pemeriksaan adalah di lokasi yang akan ditetapkan oleh MOT dan setiap negeri sekurang-kurangnya mempunyai dua atau tiga lokasi, “katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Tawaran Pemberian Lesen Bagi Melaksanakan Fungsi Pemeriksaan Kenderaan Motor di Bawah Akta 333 Kepada Pihak Berkelayakan dan Kompeten di kementeriannya, hari ini.

Pengumuman itu susulan konsesi semasa khidmat pemeriksaan kenderaan motor kepada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tamat pada 31 Ogos depan.

Perkara itu diputuskan Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu tiada lagi monopoli PUSPAKOM sebagai penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor berkuat kuasa 1 September 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini