comscore
Tumpuan :
Nasional

Monsun Barat Daya: KPM siap siaga hadapi perubahan cuaca

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyampaikan anugerah kepada penerima pada Majlis Anugerah sempena Hari Guru peringkat Kebangsaan 2024 di Kuantan.-Foto: NSTP

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa dalam keadaan siap siaga susulan Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Jumaat ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata atas faktor perubahan cuaca itu, garis panduan akan ditambah baik dari semasa ke semasa dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan kementerian lain.

“Insya-Allah di peringkat KPM, kesiapsiagaan memang ada dan saya ingin mengingatkan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri supaya sentiasa mematuhi garis panduan berkenaan.

“Setakat ini, garis panduan itu perlu dipatuhi dan kita beri autonomi kepada sekolah untuk membuat keputusan apabila melihat perkembangan cuaca di negeri masing-masing.

“Ia termasuk dari segi pemakaian dan peringatan mengenai aktiviti. Oleh itu, garis panduan kita cukup jelas dengan perkara itu dan terus dipatuhi serta dipantau sekolah dan JPN,” katanya selepas Majlis Anugerah sempena Hari Guru peringkat Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Jumaat ini dan akan berterusan sehingga September depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan, dilaporkan berkata, ketika Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan yang membawa kepada taburan hujan lebih rendah dalam tempoh itu.

“Pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina berkata, kementerian itu sedang meningkatkan semua infrastruktur terutama Pusat Kegiatan Guru (PKG).

“Kita naik taraf dan tambah baik supaya murid dan guru di kawasan pedalaman yang tiada akses internet boleh datang dan memanfaatkan PKG ini.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital untuk memastikan infrastruktur itu lengkap,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini