comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Moodys jangka bank pusat APAC akan pelbagaikan matawang 

 

KUALA LUMPUR: Keadaan geopolitik yang berlaku mungkin mendorong kerajaan, bank pusat dan syarikat-syarikat di rantau Asia Pasifik (APAC) untuk mempelbagaikan mata wang yang digunakan untuk mengumpul dana, melabur rizab atau perdagangan barangan invois mereka, kata Moody’s Investors Service (Moody’s).

Moody’s dalam kenyataannya berkata, dolar AS berkemungkinan tidak menjadi mata wang utama untuk perdagangan antarabangsa dan rizab dalam masa terdekat ini.

“Kepincangan kedudukan kewangan di APAC akan meningkatkan kebergantungan kepada kumpulan modal domestik atau serantau yang akan merangsang pertumbuhan pasaran bon mata wang tempatan dan mengurangkan risiko kadar pertukaran bagi penerbit.

“Bagaimanapun, ia mungkin meningkatkan kos pembiayaan merentas sektor dengan permintaan yang lebih tinggi untuk kecairan tempatan yang terhad,” kata Pengarah Urusan Moody’s, Michael Taylor.

Moody’s berkata ekonomi APAC secara amnya telah mengurangkan kebergantungan mereka pada pembiayaan hutang dalam dolar AS tetapi masih sangat bergantung pada dolar AS untuk pengurusan invois perdagangan dan rizab.

“Keadaan geopolitik semasa boleh menghalang pergerakan bebas modal dan keupayaan bank untuk mendapatkan pembiayaan dolar AS yang boleh dipercayai dan stabil.

“Sementara itu, institusi kewangan terdedah kepada perubahan strategi pelanggan korporat mereka, terutamanya dalam sektor sensitif yang menjadi pusat persaingan geopolitik seperti semikonduktor,” katanya.

Moody’s menekankan  bank pembangunan pelbagai hala (MDB) akan kekal sebagai pemacu teras kewangan projek jangka panjang, sebahagian besarnya dalam dolar AS.

Namun begitu, kemunculan MDB dan inisiatif pinjaman dua hala yang mencerminkan kepentingan negara-negara yang sedang pesat membangun berkemungkinan meningkatkan persaingan dalam kewangan pembangunan, memandangkan peranan kerajaan sebagai pemegang saham dalam kebanyakan MDB, kata Moody’s. – BERNAMA

Loading...
Terkini