comscore
Tumpuan :
Nasional

Moratorium: Johor zahir penghargaan kepada kerajaan

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika meninjau keadaan terkini mangsa banjir di negeri itu. – FOTO: Datuk Onn Hafiz Ghazi / Facebook

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau berhubung pemberian moratorium kepada peminjam yang terkesan akibat banjir.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri dengan rendah hati mengucapkan jutaan penghargaan kepada seluruh kementerian dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan atas segala bantuan yang diberikan.

“Syukur Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau kepada mangsa-mangsa banjir di Johor.

“Alhamdulillah, semua ini untuk kemaslahatan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir di Johor. Semoga manfaat ini memberi sejuta sinar kepada seluruh Bangsa Johor, ” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Perdana Menteri dipetik berkata setakat ini, Maybank dan CIMB telah bersetuju untuk memberikan moratorium selama enam bulan dan beliau akan menghubungi bank-bank lain untuk mengikuti langkah berkenaan.

Semalam, Onn Hafiz meminta kerajaan mempertimbangkan moratorium antara tiga hingga enam bulan diberikan kepada mangsa banjir di negeri berkenaan sekali gus meringankan bebanan mangsa banjir yang mempunyai pinjaman daripada institusi perbankan. – BERNAMA

Loading...
Terkini