comscore
Tumpuan :
Nasional

MOSTI lancarkan STEM Camp, pupuk minat murid dalam bidang sains

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang diiringi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung (kiri) melihat murid-murid melakukan aktiviti ‘Topologi’ ketika Program Rintis STEM Camp@Petaling Jaya di Dewan SJK(C) Chen Moh, Petaling Jaya. FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan STEM Camp iaitu aktiviti pembelajaran secara tidak formal di luar bilik darjah bagi memupuk minat pelajar terhadap ilmu sains.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, menambahbaik kemahiran serta memahami aspek aplikasi dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

FOTO: NSTP

“Masalah negara kita kebelakangan ini adalah kurang daripada 50 peratus pelajar memilih aliran sains terutamanya di peringkat pengajian tinggi.

“Ini memberi banyak masalah kepada negara. Kita juga telah membuat kajian, antara faktor pelajar kurang memilih aliran sains adalah kerana kurang minat, mereka rasakan mata pelajaran sains susah dan tidak dapat peluang yang baik.

“Ini adalah inisiatif MOSTI untuk mengatasi masalah tersebut. Sasaran MOSTI pada tahun ini adalah untuk menganjurkan sekurang-kurangnya 15 STEM Camp di seluruh negara, katanya dalam sidang media selepas melancarkan STEM Camp di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chen Moh, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafei.

Katanya lagi, sekiranya pelajar kurang memilih pembelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), negara tidak akan dapat mencapai dasar sains teknologi dan inovasi negara iaitu menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

“Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita peroleh pelaburan diluluskan yang tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM329.5 bilion. Ini adalah satu nilai yang sangat tinggi dan kebanyakkan pelaburan ini berteraskan teknologi.

“Kita perlu ramai bakat bagi memenuhi keperluan industri. Sekiranya kita tidak dapat membekalkan bakat STI ianya akan menjejaskan usaha kita ke arah negara yang berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi,” katanya.

Pelaksanaan STEM Camp ini dirangka melalui penglibatan rakan strategik yang terdiri daripada pelbagai pemegang taruh dalam bidang STEM seperti agensi di bawah MOSTI, institut pengajian tinggi awam dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta lain-lain agensi yang menjalankan fungsi dalam pembudayaan STI di negara ini.

Penganjuran Program STEM Camp di SJKC Chen Moh dijayakan oleh Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SJK(C) Chen Moh dengan kerjasama tiga agensi di bawah MOSTI iaitu Pusat Sains Negara, Planetarium Negara dan Agensi Nuklear Malaysia dengan penyertaan 100 orang pelajar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini