comscore
Tumpuan :
Nasional

MOT gantung lesen dua syarikat bas terlibat kemalangan

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan menggantung lesen dua syarikat bas ekspres yang terlibat kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini, berkuat kuasa 12 Jun ini.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pengngkutan (MOT) memaklumkan, penggantungan lesen membabitkan S.V Juta Sdn Bhd dan Syarikat Kejora Masyhur Sdn Bhd dibuat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL) selepas siasatan dijalankan terhadap insiden kemalangan membabitkan bas ekspres syarikat itu.

S.V Juta digantung lesen pengendali selama 58 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], kesalahan berulang dan pemanduan secara berbahaya.

Kejora Masyhur pula digantung selama 37 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen iaitu keperluan keselamatan seperti yang tersenarai di bawah Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sepanjang tempoh penggantungan, sebarang transaksi berhubung dengan lesen pengendali bagi kedua-dua syarikat tidak akan dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Pada 12 Mei lalu, bas ekspres Starmart Express di bawah syarikat S.V Juta berlanggar dengan 12 kenderaan lain di Kilometer 256.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), manakala pada 13 Mei pula bas ekspres TRA Xpress di bawah syarikat Kejora Masyhur berlanggar dengan dua lori di Kilometer 257.8 Plus arah selatan.

MOT berkata hasil siasatan APAD juga mendapati kedua-dua syarikat tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang telah ditetapkan, manakala semakan dengan agensi berkaitan mendapati kedua-dua syarikat itu mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

“Tindakan yang dikenakan ke atas kedua syarikat pengendali ini diharap menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal-hal keselamatan,” katanya.

Loading...
Terkini