comscore
Tumpuan :
Nasional

MOT komited pastikan semua kes tatatertib diambil tindakan segera, dilapor kepada SPRM

 

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menyatakan komitmen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyelesaikan semua laporan salah laku membabitkan kakitangan di agensi kementerian itu dalam kadar segera.

Komitmen itu dinyatakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam pertemuannya dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Kementerian Pengangkutan, Selasa lalu.

Katanya, pertemuan selama hampir satu jam itu berjalan dengan baik dan beliau mendapat gambaran sebenar mengenai kes salah laku kakitangan di agensi Kementerian Pengangkutan yang masih belum diambil tindakan.

“Selasa lalu, saya berjumpa Azam hampir satu jam. Kami adakan perbincangan yang baik dan beliau memberikan maklumat terkini mengenai kes tatatertib yang belum selesai.

“Saya sudah minta Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan untuk memastikan semua kes tatatertib yang belum selesai, diambil tindakan segera dan dilaporkan balik kepada SPRM,” katanya pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kesesakan Jalan Raya di sini, hari ini.

Pada 9 Mei lalu, Loke dilaporkan mahu mengadakan pertemuan dengan Azam bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pendedahan mengatakan laporan salah laku kakitangan di agensi bawah Kementerian Pengangkutan tidak diendahkan.

Ia susulan laporan New Straits Times mengenai pendedahan Azam bahawa ada antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka, walaupun SPRM mengesyorkan supaya tindakan diambil.

Azam dilaporkan berkata, lebih 500 laporan salah laku, yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu, masih belum diambil tindakan oleh pelbagai ketua jabatan, termasuk polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketika ditanya berapa jumlah laporan salah laku di agensi Kementerian Pengangkutan yang belum diselesaikan, Loke enggan mendedahkannya, namun ia lebih kecil berbanding dilaporkan.

Katanya, kekeliruan jumlah laporan salah laku yang belum diselesaikan itu berlaku kerana ada sesetengah kes sudah diambil tindakan, namun tidak dilaporkan kepada SPRM.

“Ada yang kita sudah selesaikan tetapi kementerian belum laporkan kepada SPRM. Itu yang ada sedikit percanggahan dari segi jumlah kes, tetapi itu tak menjadi masalah.

“Yang penting kita ambil tindakan untuk apa saja saranan daripada SPRM. Itu komitmen yang saya berikan kepada Azam, iaitu kementerian akan beri kerjasama sepenuhnya.

“Kes yang belum diambil tindakan tatatertib akan disusuli dengan segera,” katanya.

Loading...
Terkini