Tumpuan :
Nasional

MOTAC batalkan lesen Al Quds Umrah & Tours

Lesen Al Quds Umrah & Tours dibatalkan berkuat kuasa 24 Januari ini.

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan pembatalan lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn. Bhd berkuat kuasa 24 Januari ini.

Menurut Pesuruhjaya Pelancongan, Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman, keputusan ini dibuat selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], yang memperuntukkan kuasa kepada kementerian untuk menggantung atau membatalkan lesen syarikat pelancongan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan yang ditetapkan.

“Adalah dimaklumkan selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memutuskan untuk membatalkan lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn. Bhd. [199501035815 (365017-P)].

“Kementerian ini memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak tahun lalu, lesen syarikat pengendali pakej umrah itu digantung sejak 9 Julai hingga 19 Januari tahun ini selepas didapati gagal mematuhi obligasi serta melanggar syarat di bawah Akta 482, termasuk tindakan yang menjejaskan kepentingan awam, industri pelancongan, dan ekonomi negara.

Pada Oktober tahun lalu, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah membenarkan tuntutan pampasan RM10,000 kepada dua individu selepas syarikat itu gagal membawa mereka mengerjakan umrah dan badal haji mengikut tarikh yang ditetapkan, walaupun bayaran penuh telah dibuat.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden TTPM Sabah, Larina Wong Shiao Yee, selepas mendengar kes yang dikemukakan oleh Kasmah Arifin, 55, dan Muliana Samin, 44, terhadap Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini