comscore
Tumpuan :
Nasional

MOTAC sasar kedatangan lima juta pelancong China ke Malaysia

King Sing (tengah) menyampaikan cenderahati kepada pelancong yang tiba menerusi pesawat Xiamen Air (MF 0877) dari Fuzhou, China di KLIA hari ini. – FOTO: BERNAMA

SEPANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kedatangan lima juta pelancong China ke Malaysia tahun ini berbanding 3.1 juta pada 2019.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata sasaran itu ditetapkan susulan keputusan negara itu membuka semula sempadan pada 8 Januari lalu, selepas tiga tahun sekatan dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19.

“Kita gembira lihat kedatangan pelancong ke negara ini untuk pacu sektor pelancongan dan ekonomi negara.

“Saya ucapkan selamat datang ke Malaysia dan berharap pelancong dari negara lain juga melawat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan cenderamata sempena Tahun Baharu Cina kepada pelancong dari Hong Kong dan China, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau berkata, sasaran itu dijangka tercapai apabila China menyambung semula perkhidmatan lawatan berkumpulan ke 20 negara termasuk Malaysia, bermula 6 Februari ini.

Negara tersenarai ialah Thailand, Indonesia, Kemboja, Maldives, Sri Lanka, Filipina, Russia, Singapura, Laos, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Kenya, Afrika Selatan, Switzerland, Hungary, New Zealand, Fiji, Cuba dan Argentina.

King Sing turut memberi jaminan setiap pelancong China yang memasuki negara ini telah menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas dan meminta rakyat Malaysia untuk terus mengutamakan kesihatan diri, di samping menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Walaupun COVID-19 masih ada, kita kena bergerak ke hadapan, kita sama-sama jaga kesihatan kendiri dan kena bergerak ke hadapan,” katanya.

Baru-baru ini Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), dilaporkan menaruh kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan ketibaan pelancong China, sama seperti dilakukan dengan pengembara lain dari seluruh dunia.

King Sing turut meminta pelbagai pihak bekerjasama dengan MOTAC menjayakan promosi pelancongan bagi merancakkan semula sektor terbabit. – BERNAMA

Loading...
Terkini