comscore
Tumpuan :
Nasional

Motosikal rempuh pokok, dua pelajar cedera 

 

Foto Ihsan IPD Melaka Tengah

MELAKA: Dua pelajar cedera apabila motosikal ditunggang terbabas merempuh pokok selepas mengelak sebuah kereta di Jalan Bukit Lintang, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku jam 10.15 malam di Jalan Bukit Lintang membabitkan motosikal Yamaha 135 LC ditunggangi pelajar Tingkatan 1 dan 5 dengan kereta Honda City dipandu pekerja kilang berusia 24 tahun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan dibuat pemandu kereta pada jam 10.52 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kemudian melakukan siasatan di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati motosikal itu ditunggang mangsa berusia 13 tahun dan dibonceng rakannya berusia 17 tahun dari arah Bukit Lintang menghala ke Kandang manakala kereta dari arah bertentangan dan ingin singgah di sebuah restoran.

“Ketika membelok ke kanan untuk ke tempat meletak kenderaan sebuah motosikal yang bergerak lurus dari arah bertentangan cuba mengelak lalu terbabas sendiri merempuh pokok di tepi jalan berhadapan restoran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christoper berkata, akibat kemalangan kedua-dua pelajar terbabit mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke Hospital Melaka serta menerima rawatan di Zon Merah.

Katanya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Polis meminta saksi bebas tampil memberi keterangan lanjut berkaitan kejadian dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...
Terkini