comscore
Tumpuan :
Nasional

MoU peruntukan pembangkang: ‘Tangan persefahaman dihulur tapi tidak disambut’ – Fahmi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan sentiasa berusaha membuat yang terbaik untuk mencapai semangat demokrasi dan demi kebajikan rakyat namun ia seolah-olah tidak tercapai apabila pembangkang tidak berpendirian serupa.

Malah Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pembangkang berpura-pura pula menjadi mangsa keadaan terutama dalam isu draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang.

“Bagi siapa-siapa yang terlibat dalam bentuk rundingan, draf (MoU) itu fungsinya ialah sebagai draf perbincangan, bukan draf muktamad. Saya kesal dengan tindakan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) kerana kita jemput beliau ke macam-macam acara termasuk Hari Kebangsaan, saya kesal kerana jemputan kita tidak disambut, kita hantar kain untuk ukur baju (pun) tak jawab.

“Kita berusaha buat yang terbaik untuk mencapai semangat demokrasi dan untuk rakyat tapi tangan yang dihulur dalam semangat bukan persahabatan, tetapi (semangat) persefahaman tidak disambut malah kelihatan sebagai ‘play victim’ (berpura-pura menjadi mangsa keadaan),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Jelasnya, isu MoU peruntukan tersebut boleh diselesaikan lebih awal jika ia tidak dilengah-lengahkan.

“Saya tahu sebab sikap Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ialah berbincang. Kita sudah umum sejak Mac 2023, kalau dilakukan perbincangan tiap-tiap minggu, dah siap dah, tiada isu pun.

“Ini penting sebab mantera yang selalu disebut oleh pembangkang – kami nak pastikan rakyat di kawasan kami terjaga dan terbela. Namun, semakin lama anda tangguh, semakin lemah hujah anda. Kalau betul itu hasrat di pihak pembangkang, sepatutnya sudah lama selesai,” katanya.

Pada 15 September lalu, Perikatan Nasional (PN) mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Hamzah dilapor berkata, keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara kerajaan Malaysia dengan parti PN dan antara kerajaan Malaysia dengan semua ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.

“Pintu rundingan tidak tertutup, yang tutup adalah pembangkang sendiri, kalau hasrat benar-benar nak berbincang, marilah berbincang tidak perlu rasa takut, datang dan berbincang (kerana) kita bersedia untuk bercakap mengenainya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini