comscore
Tumpuan :
Nasional

MP Kota Belud gesa noktah segera kemiskinan tegar di Sabah

Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy.

KUALA LUMPUR: Usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah perlu dilaksanakan segera dengan menggunakan mekanisme berbeza, mengambil kira keadaan di negeri itu tidak sama dengan Semenanjung.

Dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy (WARISAN-Kota Belud), berkata di Sabah jumlah penduduk miskin tegar adalah 101,113 orang yang membabitkan 22,510 ketua isi rumah.

“Jumlah ini berdasarkan kenyataan dikeluarkan Ketua Menteri Sabah pada 5 Januari lalu.

“Jika angka ini tepat, adakah ia menandakan terdapat masalah penyampaian di peringkat negeri untuk membantu Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menoktahkan kemiskinan (di Sabah) pada tahun lalu,” katanya.

Beliau turut mengesyorkan kerajaan mengguna pakai indeks atau ukuran kemiskinan multidimensi, memandangkan keadaan kemiskinan di antara Semenanjung dan negeri di Borneo sangat berbeza.

Bagi mengukur tahap kemiskinan di Sabah, katanya, penilaian perlu dibuat secara menyeluruh, merangkumi pelbagai aspek termasuk tahap kesihatan, pendidikan, kediaman dan keperluan asas khususnya air dan elektrik.

Beliau turut menggesa usaha bersepadu kerajaan untuk mengatasi isu harga barangan di Sabah dan Sarawak yang jauh lebih mahal berbanding di Semenanjung.

“Di Borneo, sebelum ada SST (cukai jualan dan perkhidmatan) pun kami dah menghadapi isu (lonjakan) harga.

“Harga barangan kami sudah lama mahal, malah ia lebih tinggi dari di Semenanjung. Belum lagi ambil kira barangan bersubsidi seperti minyak dan beras, ia amat sukar didapati.

“Disebabkan itu, baru-baru ini ‘viral’ (tular) orang Sabah bawa balik barang ‘rare’ (jarang dijumpai), iaitu gula bersubsidi dari Semenanjung,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini