comscore
Tumpuan :
Nasional

MPN beroperasi guna pembiayaan sendiri selepas tidak terima dana kerajaan 2018-2022

KUALA LUMPUR: Majlis Profesor Negara (MPN) tidak menerima dana kerajaan sejak pembubarannya pada 2018, sebaliknya beroperasi dengan sumbangan dan pembiayaan sendiri serta bergerak sebagai entiti bebas sehingga Januari 2022.

Melalui penjelasan ke atas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), MPN berkata, sepanjang tempoh beroperasi sebagai entiti bebas, majlis terbabit mengambil inisiatif tertentu bagi menentukan kelangsungannya selain membuat pindaan terhadap Perlembagaan selaras dengan kedudukan serta statusnya itu.

Menurut MPN, kerajaan membuat keputusan untuk membubarkan majlis itu serta merta berkuat kuasa 23 Mei 2018 yang secara langsung mengeluarkannya daripada naungan kerajaan sebelum menerima dana semula daripada kerajaan pada 2022.

“Mulai tarikh pembubaran itu, MPN tiada lagi menerima saluran dana kerajaan dan beroperasi dengan sumbangan serta pembiayaan sendiri selain bergerak sebagai entiti bebas sehingga Januari 2022.

“MPN mula diterima semula beroperasi di bawah naungan kerajaan dan menerima dana tahunan mulai Januari 2022,” katanya.

Melalui LKAN 2/2024 yang diumumkan hari ini, audit menemui penyalahgunaan dana dalam MPN di mana ia sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang dikawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM), didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516.

Malah, ia mewujudkan konflik kepentingan apabila dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat terbabit, selaras Akta 777 (Akta Syarikat 2016).

Selain itu, pembayaran elaun tetap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berjumlah RM207,000 dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini