comscore
Tumpuan :
Nasional

MRANTI Pupuk Keupayaan Negara Dalam Revolusi Industri 4.0

| Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Pelan Induk baharu Taman Malaysia Research Accelerator For Technology and Innovation (MRANTI) akan memupuk keupayaan negara dalam Revolusi Industri 4.0.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kawasan itu juga pemangkin teknologi terkini daripada sistem Internet Pelbagai Benda (IoT), perkhidmatan Protokol Internet (IP) dan makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih.

Menurut Perdana Menteri, taman teknologi utama terbabit merupakan hab inovasi terunggul di negara ini yang akan memberi tumpuan kepada tiga teras pembangunan iaitu inovasi, kemampanan alam sekitar dan budaya ‘urban’.

Ujarnya taman seluas 686 ekar ini telah menarik minat banyak syarikat teknologi.

“Lima kluster teknologi sedang dibangunkan di Taman MRANTI iaitu teknologi dron, pertanian, kesihatan, biosains dan pemboleh 4IR dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM20 juta dan nilai pulangan sebanyak RM2.8 bilion melalui pajakan tanah oleh MRANTI kepada para pelabur.

“Terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Malaysia, sebuah hab perniagaan global dan pemangkin transformasi Greater KL, Taman MRANTI berperanan menyelaras keluaran R&D ke pasaran menerusi ekosistem bersepadu, yang memusatkan semua aktiviti teknologi dan inovasi secara setempat.

“Taman MRANTI ini juga menyaksikan kerjasama dengan lima buah koridor ekonomi iaitu NCER, ECER, SDC, Iskandar Malaysia, SCORE dalam mempromosi dan mengguna pakai keluaran teknologi R&D serta pengkomersialan.” katanya

Beliau ditemui berucap sempena perasmian Pelan Induk Taman Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan penjenamaan semula MIMOS Berhad kepada MIMOS Global di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Menurut beliau, MRANTI akan dilengkapi dengan infrastruktur moden termasuk jalur lebar berkelajuan tinggi dan teknologi 5G.

Ini termasuklah insentif dan peluang pembiayaan turut direka untuk menarik golongan profesional muda, serta mewujudkan laluan yang stabil bagi bakat berkemahiran tinggi.

Program ini dijangka dapat mencipta lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu.

Loading...
Terkini