CHUKAI: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengingatkan pemain industri tidak menjadikan Monsun Timur Laut (MTL) sebagai alasan untuk menaikkan harga ikan di pasaran tempatan.
Menurut Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil, pihaknya memberi jaminan bekalan ikan segar mencukupi, walaupun ketika itu nelayan dikatakan tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan kerana laut bergelora.
Katanya, pemantauan yang dibuat pihaknya mendapati bekalan ikan pada masa ini tidak banyak terjejas walaupun MTL sudah bermula hampir seminggu lalu.
“Pada musim MTL, hanya nelayan zon A (tradisional) Pantai Timur yang terkesan tidak dapat turun (kelaut) kerana bot mereka kecil.
“Tetapi bot-bot besar seperti Kelas B, C dan C2 (laut dalam) masih boleh turun (ke laut), Pantai Barat (Semenanjung) dan Sabah serta Sarawak juga tidak terjejas.
“Jadi bekalan ikan segar masih boleh diperoleh di pasar terbuka sepanjang musim MTL dan mengingatkan peniaga tidak sesuka hati menaikkan harga,” katanya ketika ditemui pada program Ramah Madani bersama nelayan Kijal dan Kemasik, di sini, hari ini.
Berdasarkan tinjauan NSTP di beberapa pasar basah Di sekitar Kuala Terengganu Dan Kuala Nerus, harga beberapa jenis ikan seperti selayang, kembong, selar dan kerisi mengalami kenaikan sehingga 15 peratus sejak minggu lalu.
Ini kerana, peniaga mendakwa peningkatan itu disebabkan cuaca yang semakin tidak menentu menyebabkan nelayan tidak dapat melakukan aktiviti menangkap ikan di laut Muhammad Faiz berkata, bagi memastikan bekalan ikan sentiasa stabil pada musim tengkujuh, LKIM turut menyediakan bekalan ikan segar beku sebanyak 1,700 tan metrik ikan sebagai stok penimbal.
“Saya benar-benar berharap pemain industri seperti pemborong, peraih, pengangkutan dan peruncit tidak menjadikan alasan ketibaan MTL untuk mengambil kesempatan menaikkan harga ikan.
“Mereka perlulah mempunyai sikap tanggungjawab membantu rakyat mendapat harga ikan berpatutan supaya kos sara hidup diminimumkan,” katanya.