comscore
Tumpuan :
Nasional

MTUC sekali lagi gesa kerajaan segera perkenal SKBBK

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sekali lagi menggesa kerajaan supaya menyegerakan pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) sebagai langkah proaktif untuk melindungi hak pekerja di luar waktu bekerja.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata ia selaras peningkatan kes kemalangan jalan raya ketika ini.

Katanya, perlindungan di luar waktu bekerja diperkenal seiring hasrat kerajaan memperkasa kesejahteraan rakyat meliputi pelbagai golongan.

“Kita perlu berganding bahu melalui pewujudan satu lagi skim keselamatan sosial yang khusus dengan skop perlindungan yang lebih luas di luar waktu bekerja.”

“Di mana ia berupaya memberi perlindungan menerusi bayaran pampasan untuk rawatan perubatan, gantian pendapatan dan sokongan kewangan kepada mereka yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Effendy berkata sekiranya kerajaan merealisasikan skim ini, ia tidak hanya akan meningkatkan taraf kesejahteraan pekerja, sebaliknya memanifestasikan usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyatnya.

“Ia langkah progresif yang perlu dititikberatkan memandangkan banyak bencana berlaku ke atas pekerja dalam kes tuntutan faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) ditolak berikutan ia tidak diiktiraf sebagai bencana kerja,” katanya.

Justeru itu kata beliau, polemik ini perlu dinoktahkan menerusi pewujudan SKBBK, seiring dengan hasrat Malaysia dalam menjadi negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Sweden dan Norway menjelang tempoh lima hingga lapan tahun dari sekarang.

Katanya, langkah itu mampu menunjukkan kesediaan Malaysia dalam mengadaptasi praktik terbaik dalam menyediakan perlindungan kepada pekerja.

Ia tidak hanya memberi manfaat kepada individu tetapi juga kepada ekonomi secara keseluruhan dengan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh masyarakat.

Kali terakhir MTUC menyuarakan desakannya mengenai pewujudan segera SKBBK ialah pada April 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini