Tumpuan :
Nasional

Mufti India titip pesanan laksana tugas memimpin negara kepada PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari di Masjid Putra, Putrajaya. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Titipan pesanan Mufti Besar India Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari supaya dirinya bersabar ketika berdepan dugaan disifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemangkin untuk melaksanakan tugasnya memimpin negara.

Berucap pada Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 di sini malam tadi, Perdana Menteri berkata, pesanan itu disampaikan Sheikh Abu Bakar secara peribadi kepadanya sewaktu pertemuan di Kompleks Seri Perdana semalam.

“Sheikh mengingatkan kepada saya supaya istiqamah dan mengingatkan kepada saya ayat al-Quran tentang mengusahakan sesuatu dengan sabar.

“(Laksana tugasan) dengan penuh rahmah dan kasih sayang dan jangan rasa gusar sekiranya diugut, dihina, dicerca atau difitnah,” kata beliau.

Anwar berkata, Sheikh Abu Bakar turut menitipkan supaya sentiasa berserah dan bertawakal kepada Allah selepas melaksanakan segala usaha dan ikhtiar dalam sesuatu perkara.

Lebih 10,000 jemaah hadir pada Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari termasuk penyertaan dari luar negara juga wakil-wakil kementerian, agensi, para pendakwah, ilmuwan serta pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, madrasah dan institusi agama.

Program itu dimulakan dengan sesi bacaan Yasin dan solat hajat selepas solat isyak, kemudian diserikan dengan syarahan perdana dan pengijazahan sahih Al-Bukhari oleh Sheikh Abu Bakar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini