comscore
Tumpuan :
Nasional

Mufti Pulau Pinang minta umat Islam tentang acara sokong LGBT

Foto: NSTP

GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa pihak bertanggungjawab untuk menghormati pandangan mufti berhubung hukum syarak.

Katanya lebih-lebih lagi berhubung larangan terhadap aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang tidak menjadi ijtihad ulama, tetapi berdasarkan nusus syar’iyyah yang disebut jelas dalam al-Quran dan hadis.

“Setiap Muslim tentu mengetahui agama Islam menolak segala hubungan jenis yang tidak ditegakkan di atas pernikahan yang sah.

“Semua agama langit menentang aktiviti LGBT kerana ia membawa negara dan umat ke jurang kemusnahan,” katanya.

Wan Salim berkata demikian mengulas mengenai penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Februari depan.

Artis berkenaan juga didakwa menyokong aktiviti LGBT dan pernah menganjurkan konsert di Malaysia pada April 2019 lalu, di stadium berkenaan.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, beliau kesal dengan penganjuran konsert membabitkan artis luar negara yang dikatakan penyokong tegar LGBT dan terus dibenar bagi dianjurkan di negara ini.

Katanya, sebagai negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, sepatutnya tidak membuka ruang kepada penganjuran konsert artis pendokong amalan maksiat yang dilarang bukan sahaja oleh agama Islam, malah semua agama.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi mencegah kemungkaran seperti dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran, surah al-Haj ayat 41.

“Sebagai mufti, saya rasa bertanggungjawab bagi menggesa kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi supaya membatalkan segera kebenaran bagi mengadakan konsert berkenaan.

“Saya juga menyeru seluruh umat Islam di negara ini supaya memulau konsert yang dicadangkan itu.

“Ingatlah, umat Islam ditegah bekerjasama dalam perkara yang membawa kepada dosa atau maksiat seperti dinyatakan di dalam al-Quran,” katanya.

Sebagai mufti, Wan Salim rasa bertanggungjawab bagi menggesa kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi supaya membatalkan segera kebenaran bagi mengadakan konsert Ed Sheeran.

Loading...
Terkini