comscore
Tumpuan :
Nasional

Muhammad Faiz Pengerusi LKIM baharu, Mahfuz Pengerusi LPP

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sekali lagi dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkuat kuasa 15 Mei ini.

Beliau sebelum ini pernah dilantik menjawat jawatan sama pada 2018 sebelum digantikan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada 2020.

Pelantikan Muhammad Faiz bersama empat lagi Pengerusi bagi Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diumumkan Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi satu siaran media hari ini.

Turut dilantik, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan bekas Timbalan Speaker DUN Perak, Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail pula dilantik sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) manakala Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pelantikan yang telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan, pentadbiran dan perkhidmatan.

“Saya yakin dengan pengetahuan, kredibiliti dan pengalaman yang dimiliki oleh mereka dalam menerajui dan mengalas amanah serta tanggungjawab dalam menyokong dan memastikan pembaharuan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI. Tahniah saya ucapkan pada semua yang dilantik,” katanya.

Loading...
Terkini