comscore
Tumpuan :
Nasional

Muhyiddin nafi ada kaitan dengan MyAirline

Foto: NSTP

PETALING JAYA:  Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau mempunyai kaitan dengan syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline), yang menggantung operasinya secara mengejut, Khamis lalu.

Presiden BERSATU itu dalam satu kenyataan hari ini turut menegaskan tidak ada kaitan dengan pemegang saham, malah tiada pengetahuan mengenai latar belakang syarikat penerbangan itu.

Katanya, kelulusan pengoperasian MYAirline itu juga bermula selepas beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

“Saya dapati ada pihak yang cuba mengaitkan saya dengan kemelut yang melibatkan syarikat penerbangan MYAirline.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tiada kaitan langsung dengan syarikat penerbangan ini atau mana-mana pemegang saham syarikat. Saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai latar belakang syarikat ini.

“Carian saya menunjukkan bahawa syarikat ini mendapat kelulusan bersyarat lesen perkhidmatan udara pada 22 Disember 2021 iaitu semasa saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri,” katanya.

MYAirline baru-baru ini mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa Khamis lalu, sehingga diberitahu kelak akibat tekanan kewangan.

MYAirline diasaskan secara rasmi pada 11 Januari 2021 dengan sokongan kewangan daripada Zillion Wealth Bhd (88 peratus), Trillion Cove Holdings Bhd (10 peratus) dan Pengasas Bersama dan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rayner Teo (dua peratus).

Lembaga Pengarah MYAirline terdiri daripada Pengasas Bersama yang juga pemegang saham terbesar, Datuk Allan Goh Hwan Hua; Sean Goh Tze Han; bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman; bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Abd Hamid Mohd Ali; Teo dan Pengarah Trillion Cove, Jothi Prakash Murugan.

Pesawat pertamanya Airbus A320 (9M-DAC) mula diterima pada Julai 2022 yang dipajak daripada Aircastle Limited.

Syarikat itu menerima Sijil Pengendali Udara pada 27 September 2022 serta Lesen Perkhidmatan Udara pada 15 November 2022 daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang membolehkan MYAirline mengendalikan perkhidmatan penumpang dan kargo.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pembabitan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) sebagai peguam bagi pihak pemegang saham syarikat MYAirline juga tidak boleh dikaitkan dengan dirinya.

“RDS sebagai sebuah firma guaman berhak untuk mewakili sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat guamannya,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini