comscore
Tumpuan :
Nasional

Mulai 1 Oktober, kenderaan asing dari Singapura wajib ada VEP – Loke

Penguatkuasaan VEP bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia.

PUTRAJAYA: Bermula 1 Oktober depan, semua kenderaan asing dari Singapura diwajibkan mempunyai Permit Masuk Kenderaan (VEP).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, peraturan itu akan dikuatkuasakan untuk pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura.

Beliau berkata, penguatkuasaan VEP itu bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia.

“Sejak April 2019, Kementerian Pengangkutan melaksanakan pendaftaran VEP bagi pemilik kenderaan warga asing yang melintasi Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor dan Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Abu Bakar.

“Bagi memastikan pemilik kenderaan warga asing mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia, Kementerian Pengangkutan ingin memaklumkan bahawa peraturan VEP akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Oktober depan.

“Sesiapa yang memandu kenderaan asing tanpa VEP sebelum memasuki Malaysia atau semasa berada di negara ini adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan seperti termaktub dalam Seksyen 119 (2) Akta 333,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Loke juga menegaskan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai kuasa untuk melarang mana-mana kenderaan asing tanpa VEP memasuki Malaysia, selain menghalangnya daripada meninggalkan Malaysia jika terdapat perkara tidak dapat diselesaikan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 66J Akta 333.

“Ini bermakna jika mereka melakukan kesalahan jalan raya atau mempunyai saman tertunggak, mereka perlu menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum meninggalkan negara ini,” katanya.

Tambahnya lagi, proses mendapatkan VEP juga dipermudahkan dengan tag RFID VEP akan dihantar ke rumah selepas permohonan dilakukan tanpa perlu datang ke Johor untuk mengambil tag masing-masing.

Beliau berkata, bayaran RM10 dikenakan bagi setiap tag VEP yang mana ia sah selama lima tahun.

“Semua pemilik kenderaan asing yang akan melintasi Tambak Johor dan Link Kedua Malaysia-Singapura boleh menggunakan masa yang ada sekarang sama ada untuk memperbaharui VEP yang tamat tempoh atau melengkapkan proses pendaftaran bagi mendapatkan VEP kenderaan masing-masing.

“Mengikut rekod, hanya kira-kira 70,000 kenderaan bermotor berdaftar Singapura yang telah mendaftar dan mengaktifkan tag VEP berbanding lebih 200,000 kenderaan bermotor yang mendaftar tetapi belum menyelesaikan proses pemasangan dan pengaktifan tag VEP mereka.

“Saya juga telah berkomunikasi dengan rakan sejawatan saya dari Singapura mengenai perkara ini,” katanya.

Ditanya mengenai kelewatan penguatkuasaan sepenuhnya VEP, Loke berkata banyak isu teknikal apabila sistem itu dibina pada 2019, selain faktor COVID-19 juga menghalang perjalanan rentas sempadan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini